Thursday, March 29, 2018

Lokasi 'Shooting Stars' atau 'Meteors Showers' Di Malaysia

Salam,


Sesekali teringat pula zaman-zaman gigih BBNU baru dapat memiliki DSLR camera dulu.
Antara mode / genre gambar paling best ialah Night Shooting, guna Slow Shutter, sampai ke Bulb mode.

Masa ni, best sangat ada geng shoot malam-malam, tengah malam, sampai ke pagi dengan diorang ni, Potia, Dikbee, Ummi Zarra @ Kakak Nora, dan Eddy Ahmad.

Dan kalau bertuah, dapat tembak gambar 'star-trail', dan shooting star / meteor, atau orang kita selalu sebut, tahi bintang.
Apakah tahi bintang atau 'meteor shower'? Hujan meteor terjadi apabila sisa hablur yang 'ditinggalkan' komet atau asteroid masuk ke ruang udara bumi. Sisa hablur ini lazimnya batu-batan angkasa lepas dikenali sebagai 'meteoroids'. Apabila ia jatuh ke arah bumi, haba terhasil menyebabkan ia panas. Cahaya terang yang kita lihat adalah disebabkan udara panas di belakang batu yang terbakar itu. Jika banyak 'tahi bintang', ia dikenali sebagai 'meteor shower'.
Cuma, masa tu main tembak saja, tak tahu nak Google musim bila, tempat yang paling sesuai, hujung-hujung balik rumah, alahai seketul dua je iras-iras tahi bintang, yang banyaknya noise je. Haha.
Hujan tahi bintang Perseid (salah satu 'jenis' yang hanya berlaku sekitar Ogos setiap tahun) atau 'Shooting Stars' boleh dilihat (dengan mata kasar) di mana saja di negara kita, asalkan tempatnya gelap.


Lokasi Tahi Bintang / Meteor Shower / Shooting Stars di Malaysia.

Pada 2017, antara 150-200 tahi bintang boleh dilihat dalam masa 1 jam. Pada tahun 2018 ini, tahi bintang dijangka paling banyak pada malam 12 Ogos sehingga subuh esoknya.

Ada 6 tempat yang menjadi tumpuan peminat 'bintang' dan misteri alam di Malaysia menurut The Star, antaranya: 


1) Tanjung Simpang Mengayau
Terletak di bahagian paling utara Kepulauan Borneo, di daerah Kudat, Sabah. Lokasinya sangat menakjubkan pada waktu malam kerana selalunya, langit tak berawan. Pantainya juga gelap dan sesuai untuk melihat tahi bintang.


2) Kampung Teluk Pelanduk, Port Dickson
Perkampungan nelayan ini terletak tak jauh dari resort Lexis Hibiscus. Peminat tahi bintang boleh 'menunggu' di jeti kayu atau jeti konkrit yang menganjur ke laut. Ia sentiasa penuh pada hujung minggu, namun sesuai dan selamat untuk mereka yang ingin menyaksikan bintang di langit.


3) Cameron Highlands
Lokasi sesuai untuk melihat tahi bintang kerana kurangnya pencemaran udara. Tempat paling strategik adalah jalan yang menghala ke Estet Boh Tea. Kalau nak tengok tahi bintang, boleh parkir kereta di tepi jalan dan melihat ke arah langit kawasan lembah.


4) Pantai Malindo, Penang
Perkampungan nelayan ini terletak di kuala Sungai Burong. Agak sukar untuk sampai ke sini (ikut jalan bertar), jadi pastikan dulu lokasinya dengan tepat. Di sebelah kiri Jalan Bharu adalah masjid Sungai Burong manakala klinik kerajaan di sebelah kanan. Sebaik melintasi masjid, masuk ke lorong sebelah kiri dan anda akan sampai ke pantai. 


5) Pulau Tioman, Mersing
Lokasi popular peminat tahi bintang. Banyak motel dan kafe penduduk tempatan di Kampung Lalang dan Kampung Genting. Malah, sewa penginapan dan makanan juga agak berpatutan. Bertumpulah ke pantai untuk menunggu dan melihat hujan tahi bintang.


6) Kuala Selangor, Selangor
Pantai Remis dan Pantai Redang Sekinchan yang berdekatan bandar Kuala Selangor merupakan dua lokasi berhampiran Lembah Klang. Dari Petaling Jaya menuju ke Pantai Remis memakan masa lebih kurang sejam sementara Pantai Redang sekitar 90 minit. Kedua-dua lokasi ini sunyi dan gelap pada waktu malam, dan boleh dijejaki dengan kereta.

'Best kan? Tenang, cantik, yang sebenarnya ada 'depan mata' kalau kita betul-betul lihat dengan akal...haa gitu!"

Mungkin anda boleh semak laman web Jabatan Meteorologi Malaysia , untuk lebih info berkenaan cuaca, dan juga ada info pasal bintang-bintang galaksi ni semua.
JournalJeeb : Rasa macam nak kena saving lagi buat 'Tabung DSLR' baru ni!
(Sumber : Explorasa Forum Cari / Portal The Star / Gambar : Google Images)

Depressi ke Panas Baran? : Fikirlah Otak! Atau Kau Baru Darjah Tiga!

Salam,
Sekarang ni, ramai yang feeling beralasan depressi dan mental problem.
Sejak-sejak isu depressi semakin mendapat perhatian dan pemahaman masyarakat.
Tapi, dah diagnos dengan pakar?
Atau sekadar melepaskan diri dari menggunakan akal semasa berbuat sesuatu?

Aku akui, aku memang pernah jadi seorang yang panas baran dan over sensitive, dan sekarang masih lagi mengawal level-level hot tempered, sebab lama-lama, tak seorang pun tahan dengan perangai dan attitude macam ni, kan? Bagaimana nak cuba kawal?
Kalau orang provok takkan nak diam, kan?

Haahh...tak pasal-pasal tetiba ringan je tangan nak tempeleng orang! Haha.

Jom sama-sama fikir.
Perkongsian motivasi yang agak menarik aku baca dari Puan Liza Ali.
" Sebelum terlambat baik menyesal dulu. Macam mana tu ya?"
Begini, saban hari kita dengar dalam berita atau baca di Facebook tentang sesuatu tragedi. Baru-baru ini ada kes seorang suami mengamuk dan mencederakan isterinya dengan sebilah parang panjang.
Puas saya fikir, apakah agaknya yang ada dalam fikiran lelaki itu hingga dia tergamak melakukan tindakan sebegitu? Kalau dia seorang saja yang gila, itu satu hal. Tapi ada pula rakannya yang turut terlibat sama.

Ah, berapa ramai sebenarnya orang Malaysia yang sakit jiwa sekarang ni ya?

Kalau sakit jiwa, mustahil dia menyembunyikan diri selepas kejadian. Ertinya masih ada sekelumit rasa takut pada waktu itu hingga membuatkan dia dirinya rasa tidak selamat. Memang tak selamat pun kan sebab sudah disabitkan dengan kesalahan jenayah. Baru nak menyesal? Apa gunanya? 

Saranan saya kepada sesiapa saja yang sedang dirundung masalah walau sebesar gunung sekalipun, cubalah bertenang dan sabar. Usah dilayan rasa marah atau sentap itu. Ya, cakap memang senang tapi macam mana hendak kawal diri bila rasa itu tiba?
 

Contohnya bila darah sedang mendidih, mulalah rasa macam hendak pukul orang saja atau rasa macam hendak maki orang saja. Contoh lain pula, bila hati sudah bengkek, mulalah rasa hendak post makian atau sindiran dalam media sosial. Sebenarnya itu adalah perkara biasa yang kita rasa setiap hari. 

Jadi, apa yang patut kita buat untuk mengawal rasa ini agar tidak melampau yang akhirnya akan memalu dan menyusahkan orang lain?  Saranan saya, gunalah akal yang waras dan bertenang apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Namun, bagaimana pula hendak berfikir waras dan tenang? Macam susah aje kan?

Berikut Adalah Panduan Bagaimana Hendak Berfikir Waras Dan Tenang
 

1. Hawa nafsu
Tahukah anda benda yang mudah merasuk di dalam fikiran dan hati kita ialah hawa nafsu yang tidak terkawal. Fahamilah apa yang dimaksudkan dengan hawa nafsu ini barulah anda akan mudah mengawalnya.  Ketahui balasan kepada orang yang mengikut hawa nafsu, barulah anda akan takut dan insaf. Jadi,  lawan hawa nafsu ini dengan sabar. Jika tidak tahu, belajar cara bagaimana hendak melawannya, anda kena belajar. Topik ini sangat panjang dan saya tidak dapat mengupas di sini. 

2. Boomerang
Ingatlah, benda yang pergi bergolek akan datang bergolek juga. Bila kita melampiaskan rasa marah pada orang, energi negatif itu akan kembali semula pada kita seperti boomerang. Jika niat kita hendak memalukan orang, maka akhirnya kita akan dimalukan pula.

3. Marah itu syaitan
Lumrah untuk kita berasa marah tetapi melayan rasa marah itu adalah seperti meniru tindakan syaitan. Akibat marah, tidak puas hati, bengang, menyampah, benci atau apa-apa sahaja yang bersifat negatif, kita melampiaskan kemarahan kepada pihak lain khususnya orang yang lemah. Jadi, bila marah, jangan diikutkan rasa itu. Hentikan ia dengan berfikir perkara yang baik-baik. Be positive. Insya-Allah marah anda akan reda. Letakkan niat hendak mendidik, insya-Allah kita akan bertindak dengan lebih berhemah.

4. Bersihkan hati
Hasad dengki, cemburu, marah dan sebagainya lagi datang dari hati yang kotor. Memang kita semua tidak sempurna dan hati kita tidak bersih tetapi sekurang-kurangnya, jangan jadikan ia sarang. Bila marah itu datang, curah ia dengan air kesabaran dan keimanan. Begitu juga dengan pelbagai lagi rasa yang negatif. Hingga nanti hati anda akan lebih kebal dan kuat hingga tidak mampu disinggahi lagi oleh perasaan yang negatif. Jika niat kita mahu hidup aman damai, Insya-Allah kita akan berfikir yang baik-baik sahaja. 

"Tenang-tenang saja bah kau!" - Lokasi : Trulia Cafe Cyberjaya


"Demikianlah serba sedikit solusi yang dapat saya sarankan buat sesiapa sahaja yang selalu tidak mampu mengawal energi negatif dalam dirinya. Ingatlah energi negatif akan menjejaskan kesihatan kita. Badan yang tidak sihat akan menghasilkan stres dan seterusnya menjemput pelbagai penyakit kronik.Semoga anda akan menjadi orang yang lebih sabar dan berbudi. Ingat ya, sebelum melakukan sesuatu, fikir dulu apa niat kita, barulah tidak sesat. Hingga jumpa lagi." - Puan Liza Ali

Facebook: Liza Ali
www.123mamanet.com